ALOR SETAR: Kerajaan Kedah memutuskan untuk menggantung sementara tugas 1,900 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sementara menunggu arahan terperinci daripada Putrajaya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pihaknya membuat keputusan itu pada mesyuarat EXCO yang pertama yang turut membincangkan beberapa perkara mengenai pertukaran termasuk JKKK.

Beliau berkata, Kedah akan melaksanakan apa juga keputusan daripada Kerajaan Persekutuan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa campur tangan politik.

Katanya, keputusan itu bagi mengelak masalah jika ahli JKKK terlampau berpolitik sehingga ada pihak terabai di kampung kerana tidak menyokong kerajaan ketika itu.

"Seperti direkodkan, Kedah mempunyai paling ramai ahli JKKK iaitu 1,900 orang dan dulunya dikaitkan dengan ketua UMNO cawangan.

"Bagi prinsip kita sebagai kerajaan baharu, siapa saja yang layak, wajib dibantu tanpa mengira latar belakang politik. Kita akan aturkan pertemuan dengan JKKK, penghulu dan Pegawai Daerah bagi menyelesaikan masalah ini, jadi tugas JKKK digantung sementara," katanya pada sidang media selepas Amanat Menteri Besar dan Bicara Integriti di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) dibubarkan, selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama di Putrajaya.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, MPN, JASA dan JKKP dibubarkan kerana wujud unsur politik, manakala SPAD akan diambil alih Kementerian Pengangkutan.

Pada November tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu menjadi Ketua Pembangkang, mempersoalkan mengapa Ketua Pengarah JASA menerima gaji dengan kod VU7 yang memiliki skala maksimum sehingga RM20,592, selain emolumen berjumlah RM12.8 juta kepada 272 kakitangan JASA.

sumber:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018