Usahawan Wanita Di Kedah Digalak Ikuti Kursus Jangka Pendek

ALOR SETAR - Usahawan wanita di negeri ini disarankan menganggotai persatuan bagi membolehkan golongan itu beroleh maklumat tepat dalam memajukan perniagaan diceburi.

Pengerusi Persatuan Usahanita Bumiputera Negeri Kedah (Baru), Aishah Abdul berkata, peranan wanita dalam membantu menambah pendapatan dan ekonomi keluarga perlu diperkukuh melalui platform memajukan diri dengan menimba ilmu.

"Usahawan wanita sama ada sepenuh masa mahupun sambilan wajar menambah ilmu antaranya teknik pemasaran dan strategi perniagaan berkesan.

"Jika berpeluang, ikuti kursus-kursus jangka pendek yang diadakan untuk memantapkan perniagaan," katanya selepas majlis perasmian penutup kursus 'Scalling Up Women Entrepreneurs' STEPS dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Majlis dirasmikan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob.

Aishah berkata, beberapa aspek perlu diberi perhatian oleh usahawan mikro yang masih mengabaikan faktor penarik produk antaranya pembungkusan kurang menarik dan ketiadaan sijil halal.

Pada masa sama katanya, pihaknya giat menambah keahlian dengan memfokuskan kepada setiap parlimen dengan menyasarkan 13 cawangan bermula tahun depan.

"Kini kita mempunyai cawangan di Kota Setar, Kulim dan Sungai Petani dengan ahli sekitar 200 orang," katanya.

Sumber: Sinar Harian