SIK: Seramai 244 mangsa membabitkan 85 keluarga masih ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Banjir (PPS) yang dibuka di daerah ini dan Baling, susulan bencana yang melanda sejak semalam.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata sehingga jam 5 petang tadi, seramai 183 mangsa membabitkan 70 keluarga berada di lapan PPS di Baling, manakala 61 mangsa membabitkan 15 keluarga berada di sebuah PPS di Sik.

"PPS yang dibuka di Baling ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putra yang menempatkan lapan mangsa, SK Siong (28), SK Bandar (9), SK Tanjung Pari (23), SK Bayu (25) dan SK Titi Gantung (44).

"Selain itu, turut dibuka adalah PPS di Dewan Banggol Derom membabitkan 17 mangsa dan Maktab Mahmud, Baling membabitkan 30 mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.