Kerajaan negeri melaksanakan tiga projek pembinaan infrastruktur bernilai lebih RM52 juta bagi menaik taraf kemudahan asas di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, projek pertama adalah pembinaan jalan pintas yang menghubungkan Kampung Merbau Kudung Batu 5 ke Felda Teloi Timur.

Apabila siap kelak tambahnya, jalan pintas itu akan memendekkan jarak perjalanan kepada sembilan kilometer berbanding 31 kilometer ketika ini.

"Projek ini menelan belanja RM49.7 juta dan kerja pembinaan telah dimulakan Ogos tahun lalu dan dijangka siap pada Januari 2014," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah Sik di sini semalam.

Mohd. Tajudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek berkata, projek kedua adalah membaik pulih semula bekalan air Kampung Keda Sungai Senan yang telah siap dan akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir tidak lama lagi.

Menurutnya, projek tersebut bagi mengatasi krisis kekurangan bekalan air bersih dan masalah tekanan air rendah di rumah-rumah penduduk yang terletak di kawasan berbukit.

Katanya, projek ketiga adalah pembinaan semula jambatan sempit Kampung Charuk Tenang bernilai RM3.5 juta yang kini hampir siap.

Laluan jambatan yang dibina sejak 1960-an itu, kata beliau, akan ditambah daripada satu lorong kepada dua lorong untuk keselesaan pengguna jalan raya.

Justeru Mohd. Tajudin berkata, kesemua projek tersebut diharap dapat membantu mencapai sasaran menjadikan daerah Sik sebagai kawasan industri asas tani dan juga pusat agro pelancongan utama di utara tanah air.

"Pelbagai projek naik taraf kemudahan asas yang dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini kepada rakyat Sik telah menunjukkan perkembangan positif dan bakal dinikmati dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Utara/20130605/wu_01/RM52-juta-disalur-ke-Sik#ixzz4QuyHnWBJ
© Utusan Melayu (M) Bhd