HUTAN LIPUR LATA LEMBU / LATA EMBUN

Hutan Lipur Lata Lembu adalah berhampiran dengan Hutan Lipur Lata Mengkuang. Hutan Lipur Lata Lembu mendapat namanya daripada batu-batan yang terdapat di bawah air terjun disini yang berbentuk seakan lembu. Kawasan hutan jeram ini dari jenis Hutan Dipterokarpa Bukit yang mempunyai pelbagai flora dan fauna. Tumbuhan utama yang boleh ditemui ialah Meranti Melantai, Meranti Langgong dan Meranti Tembaga.

Antara elemen semulajadi yang terdapat di kawasan Hutan Lipur Lata Lembu ialah rangkaian air terjun semulajadi setinggi 30 meter dan jeram yang berpunca dari Bukit Semerliang dan mengalir melalui Sungai Lata Lembu dan Sungai Semerliang.

Aktiviti riadah utama di hutan lipur ini ialah perkhemahan, menjejak fauna dan menikmati keindahan alam semulajadi. Disamping itu, pengunjung boleh bersiar-siar, mendaki gunung dan melihat hidupan liar yang terdapat di kawasan ini. Satu denai hutan sepanjang 5 kilometer boleh menghubungkan ke Hutan Lipur Lata Mengkuang.

Kemudahan disediakan untuk pengunjung mandi manda, berkelah, berkhemah dan merentas denai hutan. Hutan lipur ini berjarak 16km dari Pekan Sik dan 95 kilometer dari Alor Setar.